Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempersoalkan tuntutan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (Comango) di dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang membuat aduan terhadap kerajaan Malaysia di Geneva atas nama hak asasi manusia.
Jakim melalui khutbah Jumaat hari ini mengingatkan hadirin pada 24 Oktober, Malaysia akan dinilai dalam UPR di Majlis Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Berdasarkan daripada maklumat yang diterima terdapat beberapa laporan yang dihantar secara berasingan kepada majlis tersebut oleh Comango jelas akan menggugat kedaulatan Islam di negara ini.
"Di antaranya ialah tuntutan hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex, queerperson (LGBTIQ), mempertikaikan peruntukan tertentu dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita Islam, dakwaan diskriminasi terhadap pengikut Syiah, bantahan pengharaman bahan-bahan penerbitan yang menyalahi hukum Syarak dan lain-lain.
Aktivis Pas, Norman Toha berkata, Pas perlu segera keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya tidak mahu imej 'kuda tunggangan' dan 'lembu dicucuk hidung' terus membelenggu parti itu oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Bagaimanapun, saya melihat tahaluf siyasi masih membelenggu banyak pemimpin utama Pas kerana sehingga kini mereka tidak berani menempelak Comango walaupun perkara itu bertentangan dengan prinsip Islam dan menyalahi fitrah manusia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Menurutnya, lagi lama Pas bertangguh untuk keluar daripada pakatan pembangkang, lagi banyak Pas akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan oleh rakan pembangkangnya yang akan menghakis kepentingan orang Islam dan Melayu.
Sebelum ini, Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro), Azril Mohd. Amin berkata, keberanian Comango mengemukakan tuntutan yang menyentuh sensiviti umat Islam kepada PBB dipercayai ada kaitan dengan sokongan pembangkang.
"Saya melihat tuntutan Comango ini merupakan ujian untuk mengukur sejauh mana dominasi Pas dalam tahaluf siyasi, kalau Pas takut dan teragak-agak untuk menjuarai isu orang Islam, saya kira tahaluf siyasi itu telah gagal," katanya.
Dalam pada itu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Teluk Kemang, Mohd. Hidzir Othman berkata, Pas perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku dengan perpaduan ummah sehingga Comango berani membuat tuntutan yang mencabar Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan agama Islam di negara ini.
"Sekiranya tiada perpaduan, dibimbangi perkara-perkara yang lebih buruk akan dituntut oleh lebih banyak NGO, maka Pas perlu mengutamakan perpaduan ummah supaya umat Islam menjadi kuat dan disegani serta digeruni oleh pihak lawan dan kawan," katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Negeri Sembilan.
















