Saturday, January 10, 2015

ARTIKEL TUN M : SYUKUR BHG 1

1. Saya bersyukur kerana kesedaran yang ditunjuk oleh orang Melayu terhadap nasib mereka. Terdapat tanda-tanda yang Melayu UMNO sudah sedar akan perlunya UMNO di perbaharui. UMNO sudah nyatakan kesanggupan untuk menerima ahli baru walaupun ini akan mengancam kedudukan ahli lama. Tanpa ahli baru, terutama yang lebih muda UMNO akan susut jumlah keahlian kerana yang tua tetap menjadi lemah dan akhirnya kembali ke Rahmatullah.
2. Tetapi bukan sahaja yang muda yang diperlukan, yang berbakat, berkebolehan juga diperlukan walaupun tidak lagi muda.
3. Namun tapisan perlu juga dibuat supaya yang masuk bukan yang anggap UMNO sebagai batu loncatan seperti yang terdahulu, atau yang nampak peluang bagi diri sendiri. Yang masuk mestilah mereka yang ikhlas dan faham akan perjuangan UMNO, dan ingin menerus dan menjayakannya.
4. Apa dianya perjuangan UMNO? Setelah 400 tahun dijajah hanya apabila berhadapan dengan cadangan penjajah untuk negeri-negeri Melayu semuanya dicantum menjadi tanah jajahan British secara langsung melalui projek Malayan Union, maka baharulah timbul kesedaran di kalangan rakyat Raja-Raja Melayu bahawa tanpa sokongan mereka maka Raja-Raja akan dipaksa menyerah negeri-negeri kerdil mereka kepada British. Jika enggan ada ramai ahli keluarga diRaja yang sanggup menandatangani perjanjian dan dilantik jadi Raja yang diiktiraf British.
5. Ini sudah pun berlaku dengan penyerahan Singapura kepada British. Dan sesungguhnya inilah cara ugutan Mac Michael kepada Raja-Raja Melayu.
6. Tetapi buat kali pertama, rakyat yang dilarang berpolitik, bangun bersatu tanpa mengira mereka rakyat Raja mana dan negeri mana.
7. Kearah penyatuan inilah yang persatuan-persatuan Melayu seluruh negeri-negeri berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
8. Perjuangan mereka bukan untuk sesiapa. Tetapi tanpa pemimpin dan jurucakap perpaduan mereka tidak akan menjadi nyata. Maka dilantiklah Dato Onn Jaafar sebagai kepala perjuangan keMelayuan.
9. Yang diutamakan pada masa itu ialah menggagalkan rancangan Malayan Union British.
10. Yang kedua oleh kerana Raja-Raja Melayu lemah apabila berhadapan dengan penjajah, maka kuasa mutlak Raja-Raja hendaklah dihadkan supaya suara rakyat akan menentukan nasib mereka dan negari-negeri Melayu.
11. Kerana pendirian rakyat yang tegas maka Raja-Raja bersetuju larangan terhadap rakyat berpolitik diketepikan.
12. Pendirian Raja-Raja dan rakyat Melayu merekalah yang menjadi asas politik Melayu dokongan UMNO.
13. Hasilnya ialah pembentukan perlembagaan yang meletakkan Raja-Raja sebagai kepala negeri dan negara tetapi pemerintahan dikuasai oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen.
14. UMNO sendiri menerima sistem demokrasi, terutama dalam menentukan kepimpinannya. Yang utama dalam UMNO ialah dasar perjuangannya. Dan dasar ini menekankan kemajuan bagi semua orang Melayu dan semua negeri melalui cara-cara yang akan ditentukan.
15. Pemimpin tidak boleh membelakangkan dasar perjuangan UMNO. Apabila Presiden UMNO yang pertama, Dato Onn Jaafar dianggap membelakangkan dasar perjuangan UMNO, parti tidak teragak-agak menolak pendiriannya. Dan Dato Onn pula menyedari akan amalan demokrasi, menganggap penolakan pendiriannya sebagai “undi tidak percaya” dengan senang hati melepaskan jawatannya.
16. Perkara yang sama berlaku kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra, walaupun tidak ada undi tidak percaya. Tunku berundur.
17. Inilah kelebihan sistem demokrasi. Di sesetengah negara percubaan dibuat untuk mengekalkan jawatan kerapkali melalui keganasan. Tetapi dalam demokrasi yang matang, peralihan kepimpinan licin tanpa merosakkan negara.
**Bahagian ke-2 akan menyusul esok

1 comment:

  1. alangkah baik nya jika Marina, anak Dr. Mahathir mempunyai sikap dan sifat seperti ayahanda nya...berjuang untuk ugama, bangsa dan Negara...demi untuk cicit cicit akan datang..kita harap Marina berubah dan berjuang seperti ayahanda nya..

    ReplyDelete

KOMEN TERPAKSA DI MODERATE SEKETIKA.

APA PUN KOMEN POLITIK YANG BERBEZA PENDAPAT TETAP AKAN GAP PUBLISH SECEPAT MUNGKIN.

JGN HINA AGAMA,HINA SULTAN,PROVOKASI MEMBUNUH..KORANG BERTANGGUNGJAWAP TERHADAP KOMEN YANG DILAKUKAN.