Pihak PEMBELA (Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam) memandang serius kenyataan media yang dibuat oleh beberapa pihak dengan motif untuk mencabar Majlis Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Negeri Selangor berikutan pewartaan Fatwa Mengharamkan Pertubuhan berkait Islam Liberal di negeri Selangor.
Sebagai sebuah badan berotoriti dan diberi kuasa untuk menjalankan tugasan mereka di bawah undang-undang negeri dan negara, kuasa untuk mewartakan serta menguatkuasakan fatwa adalah selari dengan undang-undang sedia ada.
Kemunculan pihak-pihak yang kebanyakannya bersuara bagi menjalankan agenda asing untuk negara ini sejak sekian lama telah cuba mengganggu gugat sistem sedia ada untuk motif jangka panjang pihak-pihak tertentu.
Agenda mencairkan pegangan Islam di kalangan penduduk Malaysia yang taat dan setia kepada akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) cuba dijalankan secara terancangan melalui bantuan luar.
Nama-nama agensi luar negara seperti RAND Corporation, National Endowment for Democracy (NED),National Democratic Institute (NDI), Council of Foreign Relation (CFR), Konrad Adeneur Foundation (KAF) dan pelbagai agensi asing yang sentiasa cuba masuk campur di dalam urusan negara ini.
Satu per satu pihak-pihak yang cenderung dengan agenda memperkasakan agenda SEPILIS (Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme) di dalam negara muncul mendedahkan warna perwatakan mereka melalui sokongan yang diberikan SIS Forum Sdn. Bhd.
Satu rahmat bagi Malaysia apabila perwatakan yang selama ini disembunyikan, kini didedahkan mereka melalui sokongan tidak berbelah bahagi kepada tindakan SIS Forum Sdn. Bhd., syarikat swasta yang ingin membuat semakan kehakiman ke atas fatwa yang dikeluarkan MAIS.
PEMBELA ingin menyatakan bantahan keras terhadap tindakan SIS Forum Sdn. Bhd. dan penyokong-penyokong mereka seperti Anwar Ibrahim, Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Zaid Ibrahim dan lain-lain lagi yang menyokong tindakan perundangan diambil bagi mencabar fatwa berkenaan fahaman sesat Islam Liberal tersebut.
PEMBELA yang mewakili lebih 70 NGI menyatakan solidariti kukuh dibelakang MAIS dan Majlis Fatwa Negeri Selangor di dalam mendepani cabaran kebiadaban golongan pendukung SEPILIS.
Pihak PEMBELA juga ingin memberi amaran keras kepada pihak-pihak ini supaya jangan cuba membudayakan sikap biadab dengan menentang badan otoriti yang menjalankan kuasanya sepertimana yang dibenarkan melalui undang-undang negara.
Dengan ini, PEMBELA akan menggerakkan seluruh sokongan akar umbi rakyat Malaysia yang cintakan jalan akidah yang lurus untuk bersama-sama berjuang menentang golongan pendukung SEPILIS serta mengecam kebiadaban boneka-boneka asing yang cuba mengubah dan merosakkan jati diri identiti Agama Negara ini iaitu agama Islam.
Bersama Kami Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara.
Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin,
Pengerusi,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
2 comments:
nama sepilis tu memang berbau busuk,tak ada nama lain ke.
Ayuh...kita ramai2 sokong PEMBELA!!!!. Masa dan ketika Islam dipertahankan dari dicaci dan dihina. Takbiiir!!!!
Post a Comment