Perutusan ini ditulis kerana saya tidak dapat hadir di Mesyuarat Agong UMNO kerana berada di luar negara. Tetapi kerana saya kurang sihat untuk keluar negara, saya mungkin hadir Insya'allah! Walaubagaimanapun saya ingin membuat kenyataan ini juga.
2. Sebagai orang tua, dan orang tua UMNO pula, izinkanlah saya memberi sedikit pandangan.
3. Semua tahu UMNO sekarang tidak popular seperti UMNO dahulu. Ada yang berkata UMNO tidak lagi relevan.
4. Sedikit sebanyak pandangan ini berasas. Jika UMNO dikalahkan dan hilang dari muka bumi, kepimpinan dan ahli UMNO tidak boleh nafi sumbangan mereka kepada kejatuhan parti yang begitu berjasa kepada Melayu dan negara Malaysia.
5. Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpin dan ahli UMNO?
6. Pada pandangan saya, yang pertama ialah kerana menganggap UMNO sebagai batu loncatan untuk perkaya diri sendiri.
7. UMNO hanya menerima ahli baru yang tidak mengancam kedudukan pemimpin yang sedia ada di semua peringkat.
8. Cawangan tidak terima sesiapa yang berkebolehan mencabar Ketua Cawangan. Ini adalah oleh kerana ada habuan bagi Ketua Cawangan.
9. Oleh itu yang dapat masuk UMNO hanyalah orang Melayu yang kurang berbakat daripada Ketua Cawangan. Apabila Ketua Cawangan meninggal, penggantinya ialah orang yang lebih lemah daripadanya.
10. Pengganti pun demikian. Hanya yang tidak punyai kebolehan yang lebih daripadanya sahaja yang diterima. Apabila dia kembali ke rahmatullah, yang mengganti lebih lagi lemah.
11. Dan seterusnya. Kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian semakin lama semakin lemah dan tidak berupaya memimpin. Sebab itulah apabila ditanya siapa yang akan jadi Menteri Besar Selangor jika Barisan Nasional menang, tidak ada jawapan. Walhal Selangor penuh sesak dengan Melayu yang terpelajar, berbakat, sudah kaya dan tidak perlu memperalatkan UMNO untuk perkaya diri sendiri. Mereka ini tidak boleh masuk UMNO. Yang sedikit yang dapat masuk akan disekat kenaikan sebagai pemimpin.
12. Budaya war lord (kepala perang) sudah meresap kedalam UMNO. "UMNO saya punya." " Bahagian ini saya punya."
13. Kerana kecewa ada yang berbakat dan berjiwa UMNO menyertai parti lain. Maka akan merosotlah UMNO dan akan hilanglah parti keramat ini.
14. Yang kedua ingin saya tekan akan pentingnya menegur pemimpin. Tunku, Tun Razak, Tun Hussein bukan sahaja ditegur bahkan dicabar. Saya diserang dan hampir kalah dalam pertandingan.
15. Tanpa teguran pemimpin akan percaya segala yang dilakukan olehnya betul belaka. Tetapi sebenarnya ada yang dilakukan olehnya salah dan tidak baik.
16. Saya dinasihat supaya tidak membuat teguran terbuka. Sebenarnya sudah saya tegur secara tertutup berkali-kali, terutama berkenaan masalah Bumiputra dan UMNO. Tetapi tidak berkesan. Teguran secara terbuka terpaksalah dibuat.
17. Harapan orang Melayu ialah wakil-wakil ke Perhimpunan UMNO akan buat teguran terhadap beberapa perkara yang hangat dibincang ramai sekarang.
18. Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat pandangan wakil. Janganlah selalu mendengar orang tertentu yang dikeliling kita sahaja. Yang mengeliling orang yang berkuasa tidak baik bagi mereka.
19. Orang Melayu mungkin tidak pandai seperti pakar-pakar rujuk, tetapi saya percaya orang Melayu tidak bodoh. Mereka yang membangunkan negara dari sebuah negara miskin kepada negara yang memberi banyak nikmat kepada semua.
20. Selamat Bersidang UMNO. Mudah-mudahan diberi petunjuk oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
1 comment:
umno diketuai oleh orang-orang yang suka mengalah sedangkan kaum lain diketuai oleh orang2 yang bertegas dan berkeras. ketua2 kaum lain bangga jadi ketua kaum mereka, tapi ketua Melayu takut kelihatan memperjuangkan Melayu. Ketua2 Melayu tidak ingat pesanan Allah supaya bertegas dan berkeras terhadap org kafir. sebab Allah tahu org kafir itu bertegas dan berkeras terhdp org Islam.
Post a Comment