Maafkan saya…kosong-kosong ya". Itulah ungkapan yang sering kita dengar dewasa ini setiap kali Syawal menjelma.
Walaupun ungkapan yang dianggap mengikut peredaran masa itu tidak menjadi satu kesalahan untuk diucapkan, namun ia dianggap sebagai satu 'amalan' yang longgar jika mengikut syariat Islam sebenar.
Mufti Kelantan Datuk Muhammad Shukri berkata adalah lebih afdal jika umat Islam bersalaman pada hari raya sambil melafazkan ucapan 'maafkan saya zahir dan batin' berbanding hanya' kosong-kosong' kerana tidak melambangkan keikhlasan dalam memohon kemaafan.
"Dalam Islam kita panggil musafaha iaitu berjabat tangan sambil kita lafazkan kata meminta maaf dan memohon agar semua kesilapan serta kesalahan kita pada individu tertentu dimaafkan.
"Perkataan maaf itu sebaiknya dilafazkan sebagai tanda kita minta lupakan peristiwa lampau, jangan ada parut sekalipun dan buka lembaran baharu," katanya kepada Bernama.
Muhammad menarik perhatian apabila berkata memohon dan memberi kemaafan bukan hanya ketika Hari Raya, sebaliknya amalan mulia itu wajar dilakukan pada setiap masa.
Nabi Muhammad SAW sendiri meminta ampun daripada Allah SWT sebanyak 70 kali setiap hari, kata Mufti Kelantan itu.
Sementara itu, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam apabila berkata ungkapan 'kosong-kosong' itu ibarat merosakkan nilai serta budaya masyarakat Melayu yang cantik dan indah.
"Tamadun yang dibina patut lebih baik dan bukan dirosakkan. Bukankah indah dan cantik ungkapan maaf zahir dan batin.
"Orang Inggeris misalnya cakap 'sorry' atau 'please forgive me', tapi kenapa kita nak ucap kosong-kosong yang hanya sementara dan berubah-ubah," kata Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Ramlah berkata menghulurkan tangan dan melafazkan kata memohon maaf merupakan satu akad yang betul berbanding dengan hanya mengucapkan 'kosong-kosong' yang menurutnya langsung tidak menunjukkan keikhlasan memohon kemaafan.
"Itu mungkin sekadar budaya baharu, tapi ia tak gambarkan tentang minta maaf.
"Kita mungkin salah pada individu tertentu, tapi tak semestinya orang itu bersalah pada kita. Jadi macam mana kita boleh kata 'kosong-kosong'," jelas Ramlah.
Bagaimanapun, pandangan berbeza dinyatakan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara Prof Dr Kamaruddin M.Said apabila berkata ungkapan 'kosong-kosong' merupakan satu budaya baharu yang tidak dapat ditolak bagi menghidupkan lagi suasana sambutan Hari Raya.
"Tidak ada masalah dengan ucapan itu, sebab masyarakat sekarang dah faham ia merujuk kepada permohonan maaf.
"Implikasinya tetap sama walaupun tanpa ucapan maaf zahir dan batin, tidak mengucapkan ungkapan itu bukanlah satu kesalahan," katanya. – BERNAMA
5 comments:
Yup. Tidak dapat dinafikan lagi bahwa budaya "kosong kosong" ini sedang meresap dalam jiwa orang-orang Melayu khasnya yang menyambut Hari Raya. Sebenarnya pada saya budaya menggunakan kosong kosong ini melambangkan betapa PEMALASNYA gen Y masa kini. Untuk melafazkan perkataan "maaf bermaafan kita bersama" dianggap terlalu panjang. Sedangkan itulah ungkapan yang seharusnya disebutkan... bukan kosong-kosong.
Kosong kosong tidak menggunakan pendekatan cara islam.ucapan secara sambil lewa yang tak perlu dijadikan amalan umat islam.
Sikit2 salam kosong kosong. Nyampah dgn era ni. Main bola apa ke....
Aku pun dari mula memang tidak setuju dgn kosong kosong ni, memang nya kosong dn tkda makna, kalo nk mintak maaf kita kena bersalam dan lafaz, lagi satu stesen Astrok ni biar kan aje presenter mereka guna kan perkataan "korang" seolah olah perkataan "anda" tu dh tak wujud dalam kamus bahasa dan pihak yg berwajib seperti dewan bahasa dan SKMM buat buat pekak je
Betul pandangan Prof Dr. Kamaruddin tu.... memang tidak salah menggunakannya dari sudut bahasa. Tetapi dari sudut nilai budaya dan pengangan orang Melayu dan orang timur khasnya.... mana lebih elok... mengatakan tingkah laku seseorang itu tidak begitu baik atau terus melabelkannya kurang ajar...
Post a Comment