PUTRAJAYA 18 April - Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa keterangan pembelaan dari kandang tertuduh yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, merupakan penafian semata-mata.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi menyatakan, pembelaan yang boleh dipercayai adalah bersandarkan kepada keterangan yang menjawab segala bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tanpa boleh dipertikai.
Bagaimanapun, ujar mereka, mahkamah berpendapat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak langsung menafikan berada di tempat kejadian pada hari dan waktu seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Panel itu juga menyatakan, Anwar tidak menafikan keretanya dilihat memasuki dan meninggalkan kondominium itu pada waktu kejadian, selain tidak mempertikaikan keterangan bahawa dia dilihat memasuki lif ke tingkat lima dan kemudian meninggalkan bangunan tersebut.
Mereka berpendirian, Anwar malah tidak menafikan telah mengarahkan Ketua Staf di ibu pejabat PKR, Ibrahim Yaacob agar menyediakan sampul surat untuk diserahkan kepada beliau dan saksi itu kemudian mengarahkan mangsa ke kondominium berkenaan.
Ujar panel itu, Anwar selaku responden juga tidak mempertikaikan bahawa mangsa yang ketika itu pembantu peribadinya telah membawa sampul berkenaan dan menyerahkan kepadanya dalam pertemuan di kondominium itu.
Sehubungan itu, panel tersebut menyatakan, panel berkenaan berpuas hati bahawa keterangan pembelaan dari kandang tertuduh yang dikemukakan oleh Anwar hanya penafian semata-mata kerana ia tidak menyangkal pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Selain itu, mahkamah berpendapat, hakim bicara sewajarnya terfikir mengapa Anwar memilih untuk memberi keterangan tanpa mengangkat sumpah dan adakah beliau berbuat demikian kerana enggan disoal balas.
Mahkamah berpendapat, pembelaan dari kandang tertuduh meskipun masih merupakan keterangan, ia tidak layak untuk disamakan dengan keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140419/ma_01/Pembelaan-hanya-penafian---Mahkamah#ixzz2zGz9ELaJ
© Utusan Melayu (M) Bhd


.bmp)
.bmp)



.bmp)





.jpg)




