KUALA LUMPUR 24 Mac - Kerajaan sekali lagi menegaskan untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan Malaysian Independent Chinese Secondary School (MICSS) kerana pelaksanaan peperiksaan itu tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, selain itu standard UEC juga tidak menyamai kurikulum kebangsaan manakala sukatan pelajarannya tidak setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Malah, jelasnya, kawalan piawaian peperiksaan UEC berbeza dengan peperiksaan kebangsaan dan tidak dikawal oleh pihak kementerian.
"Kita mempunyai lembaga peperiksaan sendiri, di bawah Akta Pendidikan 1996, tetapi UEC tidak selaras dengan akta itu. Jadi, kerajaan tidak boleh mengiktiraf. Saya konsisten dengan jawapan di Parlimen, itulah (tidak iktiraf)," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Idris berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah membuat penegasan sama berhubung perkara itu.
Berhubung isu ranking universiti tempatan yang sering kali menjadi 'bahan politik' oleh pembangkang untuk menghentam kerajaan, katanya, Malaysia tidak memandang hanya kepada satu kaedah ranking terutamanya QS World University Rankings.
"Ada banyak, macam-macam sistem ranking, bukan QS World University Rankings sahaja. Sistem itu, 50 peratusnya berdasarkan kepada (penilaian) persepsi. Kita tak kata kita tolak ranking sepenuhnya. Banyak universiti luar pun tidak menekankan kepada kedudukan sesebuah universiti tetapi menekankan kepada kedudukan bidang-bidang pengajian.
"Untuk itu, menerusi QS World University Rankings by Subject (mengikut bidang), Universiti Sains Malaysia (USM) berada di kedudukan ke-38 bagi bidang kejuruteraan kimia dan ke-30 (sains alam sekitar). Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mencatat kecemerlangan apabila berada di tangga ke-19 terbaik dunia bagi universiti berusia 50 tahun ke bawah," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140325/pa_01/Kerajaan-bertegas-tak-iktiraf-UEC#ixzz2wzvRhQhb
© Utusan Melayu (M) Bhd

























